MEDAN di Sumatera Utara, Indonesia antara lokasi percutian menarik untuk dikunjungi kerana pelbagai pengalaman baru boleh ditimba apatah lagi kehidupan masyarakatnya berbeza.
Firefly, anak syarikat milik penuh Penerbangan Malaysia (MAS), terbang ke Medan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Penerbangan sekali sehari itu mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di Lapangan Terbang Polonia, Medan.
Bagi berkongsi pengalaman menarik, Firefly membawa rombongan media dan ejen pelancongan Malaysia ke Medan, Danau Toba dan Berastagi selama lima hari empat malam.
Medan antara bandar sibuk dan padat. Di sini letaknya Istana Maimoon dan Masjid Raya Al-Mashun yang menjadi bukti kesultanan Deli yang memerintah pada 1888.
Istana Maimon agak unik dan kaya dengan seni ukiran daripada dinding, serambi hinggalah kepada perabotnya sekali gus menyerlahkan nilai estetika tersendiri.
Tidak lengkap kunjungan anda jika tidak berkunjung ke tasik Danau Toba, kira-kira empat jam dari Kota Medan.
Sejarahnya bermula apabila Gunung Toba meletup sekitar 74,000 tahun lalu. Letupan kuat itu melenyapkan gunung berkenaan.
Kini, hanya tinggal sebuah danau cantik dan luas yang dikenali Danau Toba, salah satu tumpuan pelancong menarik di Sumatera Utara.
Justeru, danau itu adalah bekas kawah gunung berapi terbesar di dunia. Panjang Danau Toba ialah 100 kilometer dan 30 kilometer lebar dengan pembentukan batu berbentuk pulau dikenali Pulau Samosir.
Peninggalan daripada letusan gunung itu kini didiami kebanyakannya masyarakat berketurunan Batak.
Di Pulau Samosir, Toledo Inn antara lokasi penginapan terbaik kerana bukan sekadar terletak di tengah Danau Toba, malah binaan dan reka bentuk biliknya membawa anda mengenali kebudayaan masyarakat Batak.
Berhampiran Teledo Inn yang dikenali sebagai Kampung Tuk-Tuk itu, banyak penginapan bajet berlatarkan reka bentuk kediaman masyarakat Batak.
Bagi anda yang ingin melihat perkampungan dan corak hidup masyarakat berkenaan, kunjungan ke Kampung Ambarita dan Tomok tentunya tidak dilepaskan.
Di dua perkampungan yang wujud ratusan tahun dulu itu, pelbagai cenderahati termasuk baju-T, kraftangan dan kalendar Batak dijual.
Berhati-hati ketika membeli-belah kerana jika tersilap percaturan anda tentu terbeli barangan yang dijual mahal.
Kampung Ambarita memaparkan suasana sebenar kehidupan masyarakat Batak dapat disaksikan apatah lagi rumah contoh disediakan untuk tatapan umum.
Kunjungan ke Air Terjun Sipiso-piso pula yang membawa maksud pisau kerana air terjun berkenaan menyerupai pisau.
“Berada di pergunungan Berastagi, nikmati kelazatan pelbagai buah-buahan tempatan.
“Ada juga boleh merasai pengalaman menaiki kuda sekitar pekan Berastagi,” kata pemandu pelancong dari Narasindo Tour, Sudy R J.
Singgah seketika di kaki Gunung Sibayak untuk melihat sendiri keadaan gunung berapi yang mengeluarkan asap dan pernah meletus pada 1937.
Air panas yang mengalir dari gunung berkenaan dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit selain menjadi lokasi santai masyarakat tempatan dan pelancong asing.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Media Firefly, Herman Mizar Azmi, berkata kunjungan media dan ejen pelancongan Malaysia ke Medan itu bagi mempromosikan keunikan lokasi berkenaan yang berlatarkan keunikan sejarah gunung berapinya.
“Pengalaman berbeza yang ditimba setiap wakil media dan ejen pelancongan yang mengikuti lawatan ini pastinya menterjemahkan pelbagai cerita untuk diuar-uarkan kepada masyarakat negara ini
“Lagipun Firefly sentiasa menawarkan pakej penerbangan yang murah dan merealisasikan impian sesiapa saja ke Medan serta lokasi lain,” katanya.
Sebarang keterangan lanjut layari www.fireflyz.com.my.
LOKASI PENGINAPAN MENARIK
Hotel Tiara Medan
Toledo Inn, Pulau Samosir
Hotel Sibayak International
AKTIVITI LASAK
Berkayak di Sungai Bingei, Langkat, Medan
No comments:
Post a Comment